MOSCOW: Agensi berita Bloomberg melakukan kesilapan dengan menyiarkan tajuk berita ‘Rusia Menceroboh Ukraine’ (Russia Invades Ukraine) dan tidak lama kemudian menarik balik tajuk itu, lapor Sputnik.
“Kami telah menyediakan tajuk utama untuk banyak senario dan tajuk ‘Russia Invades Ukraine’ secara tidak sengaja diterbitkan sekitar jam 4.00 petang (waktu tempatan) hari ini di laman web kami.
“Kami amat kesal atas kesilapan itu. Tajuk berita telah dikeluarkan dan kami sedang menyiasat punca kejadian,” tulis Bloomberg dalam laman web rasminya.
Sejak beberapa bulan lalu, Rusia didakwa menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk melancarkan serangan.
Bagaimanapun, Rusia berulang kali menyatakan negara itu tidak berniat untuk menyerang Ukraine.-AGENSI