WASHINGTON: Kumpulan pemisah pro-Rusia mula memindahkan penduduk awam di timur Ukraine, sekali gus menguatkan dakwaan Rusia akan menyerang Ukraine dalam masa terdekat.
Rakaman imej satelit menunjukkan tentera Rusia bersiap siaga dengan mengumpulkan tentera darat, khemah tentera dan hospital lapangan berhampiran sempadan Ukraine.
Lapangan terbang dengan jarak masa penerbangan setengah jam dari Ukraine menunjukkan kawasan landasan dipenuhi pesawat serangan darat dan helikopter.
Kenderaan tempur infantri (IFV) dan peralatan sokongan dilihat diletakkan di pangkalan tentera di Filativka, 43 kilometer dari sempadan Ukraine dan pangkalan di Novoozernoye di Crimea.
Imej lain kelihatan penempatan helikopter dan pesawat su25 di Millerovo, Rusia, kira-kira 43 km dari sempadan Ukraine.
BONGKAR RAHSIA
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menegaskan tiada lagi ‘jalan keluar’ selain mendedahkan ‘rancangan’ Rusia terhadap Ukraine.
Beliau menzahirkan harapan supaya tidak berlaku peperangan antara Moscow dan Kyiv.
“Kita bongkar rancangan Rusia bukan kerana AS mahu terlibat dalam konflik, namun kerana kita lakukan mengikut kuasa yang ada untuk membatalkan segala hasrat Rusia yang berniat menyerang Ukraine.
“Sekiranya Rusia meneruskan rancangannya, negara itu perlu bertanggungjawab untuk perang pilihan yang dahsyat dan sia-sia,” tegasnya.
Menurut Biden, beliau yakin Presiden Rusia, Vladimir Putin memilih untuk menceroboh Ukraine berdasarkan maklumat perisikan AS.
Jelasnya, maklumat tersebut mendedahkan ibu negara di Kyiv akan menjadi sasaran utama Moscow.
Menerusi siaran televisyen dari White House, Biden berkata, AS mempunyai ‘alasan untuk percaya’ tentera Rusia ‘merancang untuk menyerang Ukraine dalam tempoh beberapa hari lagi’.
“Buat masa ini, saya yakin beliau (Putin) sudah mengambil keputusan tersebut.
“Rusia masih boleh memilih jalan diplomasi dan belum terlambat untuk mengurangkan ketegangan dan kembali ke meja rundingan,” katanya.
PENDUDUK DIPINDAHKAN
Jumaat lalu, pemimpin di kedua-dua kawasan puak pemisah mengumumkan pemindahan penduduk ekoran dakwaan Ukraine merancang melakukan serangan.
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba berulang kali menegaskan tiada sebarang serangan dan menolak sebagai ‘laporan palsu oleh Rusia’.
Ratusan ribu penduduk tinggal di rantau itu dan pemindahan sedemikian akan menjadi satu usaha yang sangat besar.
Setakat ini, tiada sebarang petunjuk akan berlaku pemindahan besar-besaran, tetapi media Rusia melaporkan beberapa bas yang membawa penduduk tempatan sudah menuju ke Rusia.
Ketua Republik Rakyat Donetsk (DNR), Denis Pushilin mengumumkan pemindahan tersebut menerusi video yang dirakam Jumaat lalu.
Bagaimanapun, analisis BBC menunjukkan video itu dirakam dua hari lalu, sebelum permusuhan semakin meningkat.
Kremlin memaklumkan Putin mengarahkan kem pelarian didirikan berhampiran sempadan dan bantuan kecemasan dibayar kepada penduduk yang tiba dari kawasan puak pemisah.-BBC