WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan peralatan dan perkhidmatan bernilai AS$100 juta (RM418.9 juta) dengan Taiwan.
Langkah itu bertujuan meningkatkan sistem pertahanan peluru berpandu Taiwan di tengah-tengah ketegangan semakin memuncak dengan China.
Lapor Al Jazeera, menurut Pentagon, dana tersebut akan digunakan untuk mengekalkan, menyelenggara dan menambah baik sistem pertahanan peluru berpandu Patriot wilayah separa autonomi itu.
Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah menyampaikan pensijilan yang diperlukan, dengan memaklumkan kepada Kongres susulan kelulusan dari Jabatan Negara bagi penjualan tersebut.
“Sistem Pertahanan Udara Patriot yang dinaik taraf akan membantu meningkatkan keselamatan penerima selain membantu mengekalkan kestabilan politik, keseimbangan ketenteraan, ekonomi dan kemajuan di rantau ini.
“Penjualan ini memenuhi kepentingan negara, ekonomi dan keselamatan AS dengan menyokong usaha berterusan penerima untuk menambah baik angkatan tentera dan mengekalkan keupayaan pertahanan,” jelas DSCA.
Sementara itu, Kementerian Luar Taiwan menyambut baik keputusan AS meluluskan penjualan senjata bernilai AS$100 juta (RM418.9 juta). – AGENSI/AFP