AS, Kanada bimbang ekonomi terjejas akibat protes anti-vaksin - Utusan Malaysia

AS, Kanada bimbang ekonomi terjejas akibat protes anti-vaksin

PESERTA protes anti-vaksin menghiasi trak dan kenderaan mereka dengan bendera Kanada semasa berhimpun di Jambatan Duta, Windsor.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: White House memberi amaran demonstrasi selama 13 hari yang dianjurkan oleh pemandu lori sehingga menghalang lintasan sempadan Amerika Syarikat dan Kanada berisiko menjejaskan industri automotif dan pertanian di kedua-dua negara.

Selepas hampir dua tahun langkah sekatan pandemik Covid-19 dilaksanakan di kebanyakan negara, pihak pembangkang menganjurkan protes sama seperti di Australia, New Zealand dan Perancis ketika varian Omicron yang sangat mudah berjangkit mula mereda di banyak negara.

Bantahan semakin merebak sehingga menyebabkan kesesakan di ibu negara Ottawa sejak hujung Januari lalu.

Pemandu lori menghalang laluan masuk ke Kenada di Jambatan Duta yang merupakan laluan bekalan bagi pembuat kereta dan produk pertanian Detroit.

Satu lagi lintasan sempadan di wilayah Alberta ditutup di kedua-dua arah sejak Selasa lalu.

Protes asalnya bermula dengan ‘Konvoi Kebebasan’ di pusat bandar Ottawa bagi menentang mandat vaksinasi serta kewajipan kuarantin bagi pemandu lori yang merentas sempadan.

Penunjuk perasaan juga menyuarakan rungutan mengenai cukai karbon dan undang-undang lain.

Jurucakap White House, Jen Psaki berkata, pihaknya berusaha mengesan gangguan yang berpotensi berlaku terhadap eksport pertanian AS dari Michigan ke Kanada.

“Saya rasa amat penting kepada semua orang di Kanada dan AS untuk memahami kesan daripada sekatan ini yang akan memberikan impak kepada pekerja dan rantaian bekalan,” jelasnya.

Washington bekerjasama dengan pihak berkuasa rentas sempadan bagi mengalihkan lalu lintas ke Blue Water Bridge yang menghubungkan Pelabuhan Huron di Michigan dengan Sarnia di Ontario, susulan kebimbangan protes boleh bertukar menjadi ganas.

Gabenor Bank of Canada, Tiff Macklem menggesa penyelesaian segera dilakukan kerana sekatan berpanjangan di pintu masuk utama Kanada akan memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi.

“Rantaian bekalan global sekarang sudah tegang dan kita perlu mengelakkan sekatan ini berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesiapsiagaan Kecemasan Kanada, Bill Blair berkata, protes mengganggu sektor pekerjaan dan perlu dihentikan sebelum lebih banyak kerosakan berlaku.

PROTES NEW ZEALAND

Dalam pada itu, peserta protes anti-vaksin merusuh dengan anggota polis di pekarangan bangunan Parlimen New Zealand.

Susulan itu, lebih 50 peserta ditangkap selepas mereka berkhemah di luar bangunan tersebut selama tiga hari dan diarahkan berpindah.

Peserta protes melaungkan haka Maori ketika bergelut dengan barisan polis yang bergerak membersihkan kem protes di pekarangan Parlimen.

Protes bermula sejak Selasa lalu yang meniru tindakan ‘Konvoi Kebebasan’ oleh pemandu trak Kanada.

Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Grant Robertson berkata, penduduk di Wellington sudah hilang sabar disebabkan gangguan peserta protes dan menggesa polis bertindak.

“Jalan raya disekat di bandar, perniagaan terpaksa ditutup serta orang ramai berasa terancam dengan penunjuk perasaan,” katanya kepada Radio New Zealand.

Komander Polis Wellington, Superintenden Corrie Parnell berkata, lebih 100 anggota polis dari luar ibu negara dikerah menyuraikan peserta protes.

Jelasnya, penunjuk perasaan menolak arahan berulang kali meninggalkan kawasan itu.

Disebabkan itu, pihak berkuasa terpaksa menutup kawasan Parlimen kepada orang ramai bagi menghalang lebih ramai menyertai protes tersebut.-REUTERS

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya