WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menolak laporan mengenai Moscow sudah mengundurkan tenteranya dari sempadan Ukraine.
Sebaliknya, Washington menuduh Rusia menghantar lebih ramai tentera susulan kebimbangan mengenai pencerobohan yang semakin meningkat.
Pegawai Kanan White House menuduh pengumuman tersebut adalah ‘palsu’ dan yakin Rusia menambah 7,000 tentera di sempadan Ukraine.
“Kami menerima petunjuk mereka akan melancarkan alasan palsu pada bila-bila masa bagi mewajarkan pencerobohan,” katanya.
Pegawai yang enggan namanya didedahkan memberitahu, walaupun Moscow mahu mencapai rundingan diplomatik, namun, tindakan negara itu dilihat bertentangan.
Rabu lalu, AS, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Ukraine membuat kenyataan bersama mengenai tiada sebarang petanda Rusia mengundurkan tenteranya di semenanjung Crimea.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengisytiharkan ‘Hari Perpaduan’ ketika menyaksikan tentera Ukraine berlatih dengan senjata antikereta kebal baharu yang dibekalkan Barat berhampiran Rivne, di barat ibu kota Kyiv.
Zelensky turut melawat bandar barisan hadapan Mariupol dengan memakai kot hijau gaya tentera.
“Kami tidak takut kepada sesiapa dan mana-mana musuh serta akan mempertahankan negara ini,” tegasnya.
Menurut Zelensky, tiada bukti menunjukkan tentera Rusia sudah berundur walaupun terdapat rakaman imej dalam media negara itu yang menunjukkan tentera Moscow menamatkan latihan besar-besar di Crimea.
Semalam, Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan beliau ‘tidak berminat untuk berperang’ seperti yang didakwa AS.
“Kita perlu selesaikan persoalan ini segera dan berharap kebimbangan ini didengar dan diambil serius.
“Adakah kita betul-betul berminat berperang di Eropah? Sudah tentu tidak. Sebab itu, kita cadang proses perundingan yang menjadi perjanjian untuk memastikan keselamatan yang sama rata bagi semua orang termasuk di Rusia,” kata Putin kepada wartawan di Moscow. – REUTERS