ROME: Seorang lelaki di Perdasdefogu memegang rekod dunia selepas menjadi individu kesepuluh mencecah umur 100 tahun di kawasan itu.
Lapor The Guardian, Vittoro Lai atau dikenali sebagai Pistol masih larat memandu dan memburu babi hutan di pekan gunung terpencil di kepulauan Sardinia di Itali.
Pekan yang hanya mempunyai seramai 1,765 penghuni itu mempunyai 10 individu yang berusia lebih seabad.
Sardinia dikenal pasti sebagai antara lima wilayah di dunia yang mempunyai bilangan individu melepasi paras usia tersebut.
Perdasdefogu adalah sebuah pekan di pergunungan tenggara Sardinia yang hanya boleh diakses melalui jalan sempit dan berliku.
Bilangan penduduk mencecah usia tersebut adalah 16 kali ganda daripada purata penduduk di negara itu.
Terdapat 534 orang di seluruh pulau itu yang berusia 100 tahun atau lebih bersamaan 33.6 peratus bagi 100,000 penduduk.
Pekan itu pernah menjadi terkenal pada 2012, apabila keluarga Melis yang terdiri daripada sembilan beradik, diiktiraf dalam Rekod Dunia Guinness sebagai adik beradik tertua yang masih hidup.
Jika digabungkan kesemua usia mereka, angka tersebut adalah 818 tahun.