MOSCOW: Tentera Laut Rusia memulakan latihan besar-besaran di Laut Hitam sambil menolak amaran Amerika Syarikat yang terlalu ‘histeria’ kononnya Moscow akan menyerang Ukraine dalam masa terdekat.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataan memaklumkan lebih 30 kapal armada Laut Hitam Rusia memulakan latihan dari Sebastopol dan Novorossiysk sebagai sebahagian daripada pelan latihan tentera laut.
“Tujuan latihan itu adalah demi mempertahankan pantai semenanjung Crimea, pangkalan tentera armada Laut Hitam serta sektor ekonomi negara daripada kemungkinan ancaman ketenteraan,” katanya.
Perkembangan itu susulan AS memberi amaran perang di Ukraine boleh tercetus pada bila-bila masa.
Moscow bagaimanapun menafikan sebarang rancangan untuk menyerang, namun tetap mengekalkan pendirian akan mempertahankan keselamatannya sendiri terhadap pencerobohan oleh sekutu NATO.
Bulan lalu, Rusia mengumumkan satu siri latihan tentera laut di Lautan Atlantik, Lautan Artik, Lautan Pasifik dan Laut Mediterranean serta di ‘perairan dan laut bersebelahan dengan wilayah Rusia’.
Latihan itu melibatkan lebih 140 kapal perang dan kapal sokongan, 60 pesawat, 1,000 aset perkakasan tentera dan lebih 10,000 tentera secara keseluruhan.-AFP