BOGOTA: Sekurang-kurangnya 14 orang maut dan 35 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus beberapa rumah di tengah Colombia.
Perkara itu dimaklumkan oleh agensi pengurusan bencana Colombia.
Lapor Al Jazeera, bencana yang berlaku di Dosquebradas, berhampiran bandar Pereira akibat hujan lebat di sekitar wilayah tersebut.
Menurut Unit Kebangsaan Pengurusan Risiko dan Bencana, pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.
Pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk yang tinggal berhampiran ketika air sungai Otun melimpah ke kawasan penempatan mereka.
Tanah runtuh merupakan perkara biasa di Colombia kerana rupa bumi yang bergunung-ganang, hujan lebat kerap dan pembinaan rumah secara tidak teratur. – AGENSI