MEXICO: Seorang wartawan wanita ditembak mati semasa berada di dalam kereta di utara bandar Tijuana, Mexico, semalam.
Pembunuhan itu merupakan kes kali kedua minggu ini di bandar itu dan kes ketiga di Mexico.
Mangsa, Lourdes Maldonado Lopez ditemukan maut selepas pasukan keselamatan menerima panggilan pada pukul 7 petang.
Pada 2019, Maldonado pernah mengunjungi pejabat Presiden, Andres Manuel Lopez Obrador semasa menghadiri sidang akhbar dan meminta bantuan, sokongan dan keadilan buruh.
Baru-baru ini, Maldonado mengumumkan dia memenangi pertikaian dengan syarikat media yang dimiliki Bonilla selepas sembilan tahun litigasi.
Maldonado bekerjasama dengan banyak cawangan media dan menghasilkan rancangan internet, radio dan televisyen ‘Brebaje’ yang memfokuskan kepada kandungan berita tempatan.
Isnin lalu, jurugambar, Margarito Martinez ditembak mati di luar rumahnya.
Dia sangat terkenal kerana sering membuat liputan di lokasi kejadian di bandar Tijuana yang dilanda keganasan.
Lelaki itu bekerja dengan saluran berita tempatan, Cadena Noticias serta saluran media nasional dan antarabangsa lain.