MANILA: Seorang artis, Brenda Delgado mempunyai daya kreatif unik apabila menjadikan lipas mati sebagai kanvas untuk dia berkarya.
Wanita berusia 30 tahun dari Caloocan City itu mendapat idea untuk melukis atas badan lipas mati ketika membersihkan ruang kerjanya dan terjumpa beberapa serangga mati.
Pada mulanya, Delgado menggunakan cat minyak untuk menghasilkan lukisan terkenal termasuk Starry Night karya Van Gogh dan lukisannya mula mendapat perhatian pelbagai pihak secara dalam talian.
“Kepada semua rakan artis, jangan takut untuk kembangkan bakat anda, jangan takut untuk mencuba sesuatu yang dianggap bukan kebiasaan,” katanya.
Selain itu, karya seni Delgado mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dengan ada dalam kalangannya menuduh wanita itu kejam terhadap haiwan, biarpun lipas itu sudah mati.
“Jika lipas itu sudah mati, biarkan sahaja, tidak perlu melukis atas badannya. Bayangkan jika manusia dilakukan begitu selepas mati,” tulis seorang pengguna Instagram.
Selain itu, ada pengguna yang berpendapat, lukisan pada badan lipas mati tetap tidak akann mengubah persepsi masyarakat mengenai serangga perosak itu.
Mereka menjelaskan, lipas tetap menjadi serangga kotor yang boleh membawa penyakit.