Wanita Islam di Kashmir 'dilelong' dalam aplikasi - Utusan Malaysia

Wanita Islam di Kashmir ‘dilelong’ dalam aplikasi

APLIKASI Sulli Deals 'melelong' wanita Muslim dalam media sosial.-MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Konflik penindasan dan penganiayaan penduduk Islam di beberapa wilayah di India dilihat belum berkesudahan bahkan memasuki episod terkini sempena tahun baharu 2022.

Semasa sambutan perayaan Aidilfitri tahun lalu, saluran YouTube bernama Liberal Doge menyiarkan gambar wanita Pakistan dalam video seks bertajuk Eid Special‘.

Kandungan tersebut dibuang selepas mencetuskan kemarahan orang ramai.

Seminggu selepas itu, wanita Muslim menjadi mangsa ‘lelongan’ menerusi lelongan Sulli Deals dalam Twiitter.

Terkini, 1 Januari lalu, seorang wartawan dari Kashmir yang dikuasai India terkejut apabila mengetahui dirinya dijual dalam ‘lelongan secara dalam talian’.

Gambar Quratulain Rehbar disiarkan tanpa kebenaran dan dimuat naik dalam aplikasi tersebut bagi tujuan ‘lelongan’.

“Apabila melihat gambar tersebut saya terkedu kerana terkejut dan memalukan,” katanya.

Insiden tersebut mengejutkan kerana bukan melanda dirinya seorang bahkan lebih 100 wanita Islam termasuk pelakon terkenal, Shabana Azami, wartawan, aktivis dan ahli politik menjadi bahan pelaris dalam aplikasi Bulli Bai.

Insiden tersebut tidak mengejutkan pemenang Anugerah Nobel, Malala Yousafzai kerana terdapat dalang di sebalik aplikasi tersebut.

Julai lalu, dunia digemparkan dengan aplikasi Sulli Deals yang ‘menjual’ 80 wanita Muslim, dan terbaharu, Bulli Bai pula muncul dalam tempoh kurang setahun.

Menurut Quratulain, aplikasi itu bertujuan menjatuhkan maruah dan menghina suara golongan wanita Muslim.

Katanya, aplikasi tersebut dibangunkan menerusi perisian Github yang dimiliki Microsoft.

“Kedua-dua aplikasi tersebut merupakan perkataan yang memberi penghinaan terhadap golongan wanita Muslim dalam dialek tempatan.

“Bagaimanapun, kali ini, bahasa Punjabi dan Inggeris digunakan dalam aplikasi Bulli Bai,” kata wartawan, Mohammad Zubair yang bekerja dengan AltNews.

CETUS KEMARAHAN

Sabtu lalu, berpuluh-puluh wanita Muslim menzahirkan kemarahan dalam media sosial selepas melihat gambar dalam aplikasi tersebut.

Antaranya termasuk wartawan, Ismat Ara dari New Delhi.

Ara turut membuat laporan kepada Polis Delhi terhadap ‘individu tidak dikenali’ kerana melakukan serangan dan penghinaan terhadap wanita Muslim dalam media sosial ‘menggunakan gambar dalam konteks yang tidak boleh diterima dan lucah’.

Berdasarkan laporan tersebut, Laporan Maklumat Pertama (FIR) didaftarkan oleh Polis Siber Delhi Ahad lalu, mengikut Kanun Keseksaan India kerana didakwa menggalakkan permusuhan atas nama agama, mengancam integrasi nasional serta gangguan seksual terhadap wanita.

Pihak polis turut menjalankan siasatan terhadap pengendali akaun Twitter dan pencipta aplikasi Bulli Bai berdasarkan aduan yang dibuat oleh Sidrah yang turut menjadi mangsa.

Bagaimanapun, Ara tidak bergantung harap sepenuhnya terhadap laporan polis yang dibuat kerana siasatan terhadap aplikasi Sulli Deals sebelum ini langsung tidak berlaku sebarang tangkapan selepas enam bulan berlalu.

“Saya berasa begitu sedih sekali bagaimana penyebar kebencian diberikan lesen menyasarkan wanita Muslim tanpa sekelumit ketakutan. Ini bukan kali pertama lelongan seperti itu berlaku.

“Wanita yang menjadi mangsa sasaran adalah mereka yang lantang bersuara mengenai orang Islam dalam media sosial.

“Ini jelas adalah konspirasi untuk menutup mulut wanita Muslim kerana mencabar kumpulan berhaluan kanan Hindu terhadap jenayah kebencian dalam talian,” tegasnya.

PEGUAM BUAT LAPORAN

Seorang peguam di Mumbai, Fatima Zohra Khan turut mengemukakan laporan terhadap pihak polis Mumbai.

Jelasnya, tindakan itu diambil selepas tidak mendapat sebarang maklum balas dari Twitter, Github dan Go-Daddy.

“Laman web ini enggan berkongsikan maklumat melainkan pihak kami mempunyai waran mahkamah,” katanya.

Usaha Al-Jazeera mendapatkan maklum balas dari pihak polis New Delhi dan Mumbai berkaitan eksploitasi seksusal itu tidak membuahkan hasil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya