ACEH: Seorang wanita di Aceh disebat sebanyak 100 kali di wilayah Aceh atas kesalahan berzina, manakala pasangan lelakinya hanya disebat sebanyak 15 kali, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Am di pejabat pendakwa Aceh Timur, Ivan Najjar Alavi berkata, mahkamah memberi hukuman yang lebih keras untuk wanita yang sudah berkahwin itu selepas dia mengaku berzina kepada pegawai penyiasat.
Hakim mendapati sukar untuk menyabitkan lelaki itu sebagai bersalah kerana dia menafikan semua kesalahan.
Semasa kejadian, lelaki itu merupakan Ketua Agensi Industri Perikanan Aceh Timur dan sudah berkahwin.
“Semasa perbicaraan tersebut, pesalah lelaki tidak mengaku apa-apa dan menafikan segala dakwaan.
“Oleh itu, para hakim tidak dapat membuktikan sama ada beliau bersalah,” katanya.
Beliau berkata kepada wartawan selepas pesalah undang-undang Syariah tersebut disebat di khalayak ramai di Aceh Timur, semalam.
Sebagai hukuman alternatif, hakim mendapati lelaki itu bersalah kerana ‘bermesra dengan seorang wanita yang bukan isterinya’ selepas pasangan itu ditangkap oleh penduduk tempatan di sebuah ladang minyak kelapa sawit.
Lelaki itu pada awalnya dihukum 30 sebatan, namun, rayuannya di Mahkamah Agung Syariah di Aceh berjaya mengurangkan hukuman itu kepada 15 sebatan.-AFP