MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) dan Petubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dilihat sebagai punca sebenar konflik ketegangan yang melanda antara Rusia dan Ukraine.
Negara sekutu itu sebenarnya yang ‘dahagakan’ peperangan dan mahu melihat ia benar-benar terjadi, lapor CNN.
Tindakan itu dapat dilihat apabila NATO menempatkan pasukan tentera, kereta kebal, kawat berduri dan penembak tepat yang sedia menyerang Rusia di sempadan Ukraine.
NATO juga sedang melaksanakan rancangan yang diusahakan sejak bertahun-tahun dahulu untuk mengepung Rusia dengan menjatuhkan Presiden Vladimir Putin serta merampas kawalan sumber tenaga Rusia.
Pada pandangan Moscow yang kerap diulang dalam siaran berita dan rancangan bual bicara, Ukraine adalah negara gagal yang dikawal sepenuhnya oleh AS.
Ukraine sebenarnya hanya alat ‘boneka’ kepada AS.
Eropah pula tidak ubah seperti kumpulan anjing lemah dan berbelah bahagi yang hanya menerima arahan dari Washington.
Walaupun AS sering memberikan ancaman yang menakut-nakutkan, negara itu juga sebenarnya berpecah akibat perpecahan politik dan pergolakan antara kaum.
BONEKA AS
Sebarang tanda percanggahan pendapat antara Eropah dan AS atau NATO akan menjadi berita utama di Rusia.
Ukraine mungkin tidak terperangkap dalam pencerobohan sepenuhnya buat masa ini, tetapi sudah berlaku perang mulut habis-habisan di media Rusia.
Jurucakap Putin, Dmitry Peskov menuduh Washington membuat ‘pembohongan’ dan kenyataan ‘palsu’.
Peta di televisyen Rusia menunjukkan sekutu negara itu, Belarus yang dikelilingi tentera NATO mempunyai persamaan luar biasa dengan peta dalam laporan media barat yang menunjukkan Ukraine dikelilingi oleh tentera Rusia di tiga penjuru.
Tuduhan kemungkinan serangan Rusia terhadap Ukraine ditolak sebagai ‘ancaman separuh mitologi dari Rusia’ atau dikenali sebagai ‘Russophobia’ dari ‘Anglo-Saxon’.
Ketegangan semakin memuncak bukan disebabkan Rusia, tetapi adalah kerana NATO.
PROPAGANDA BARAT
Menurut kumpulan fokus yang dikendalikan oleh Riddle iaitu jurnal dalam talian mengenai hal ehwal Rusia, ramai rakyat negara itu beranggapan Rusia diheret ke dalam kancah peperangan yang dicetuskan oleh Barat.
Tinjauan pendapat Levada Centre mendapati rakyat Rusia ‘penat secara mental’ dengan topik Ukraine yang menjadi ‘propaganda media utama’.
Kesannya penonton tidak lagi menganalisis berita atau menyemak semula kandungan yang disiarkan dalam televisyen.
Landskap media Rusia sebenarnya sedang berubah apabila generasi muda beralih ke media dalam talian bagi mendapatkan maklumat.
Namun, kebanyakan saluran berita alternatif di Rusia ditutup dan disekat.
SERANGAN MEDIA
Serangan media negara memberikan kesan kepada rakyat Rusia.
Tinjauan Disember lalu oleh organisasi tinjauan bukan kerajaan dan penyelidikan sosiologi Levada Centre menunjukkan separuh responden menyalahkan AS dan NATO atas ketegangan yang memuncak, manakala, hanya tiga hingga empat peratus menyalahkan Rusia.
Tinjauan juga mendapati lebih separuh rakyat Rusia percaya krisis di Ukraine tidak akan berlanjutan kepada peperangan antara kedua-dua negara itu.
Dalam tinjauan pendapat lain, sebanyak 56 peratus responden berkata, hubungan antara Rusia dan NATO semakin merosot sejak konflik dengan Ukraine tercetus 2014.
Selebihnya melahirkan kebimbangan sekiranya benar-benar berlaku perang dunia.