ALABAMA: Seorang lelaki mendakwa dia memperoleh sumber pendapatan sebanyak ribuan dolar setiap minggu selepas diupah oleh sejumlah lelaki lain untuk menguji kesetiaan teman wanita mereka.
Xavier Long, 20, akan diupah oleh sejumlah lelaki untuk memikat dengan teman wanita mereka bagi menguji sama ada kekasih mereka setia atau sebaliknya.
Antara ujian yang dilakukan oleh Long termasuk menghantar mesej kepada mereka menerusi akaun media sosial dan melaporkannya semula kepada teman lelaki masing-masing jika terdapat tanda-tanda curang.
Menurut pemuda itu, ‘kerjaya’ tersebut membolehkan dia memperoleh sekurang-kurangnya 2,000 (RM8,358) setiap minggu.
“Saya mendapat upah yang agak lumayan dan kerjaya ini membuatkan saya tidak perlu bekerja mengikut shif dan boleh dikatakan ini adalah cara paling cepat untuk mendapat untung,” katanya.
Kerjayanya itu bermula selepas pengikut Long dalam TikTok memintanya menguji kesetiaan teman wanitanya dan ‘ujian’ tersebut menjadi tular sehingga ramai lelaki memintanya melakukan perkara yang sama.
Pada mulanya, Long melakukan perkhidmatan itu secara percuma, namun ada pelanggannya mula membayar dan lelaki itu menjadikannya sebagai sumber pendapatan.