KATHMANDU: Sekurang-kurangnya tujuh penumpang maut dan 13 yang lain mengalami kecederaan selepas sebuah bas terjatuh ke dalam gaung lebuh raya di Nepal.
Lapor South China Morning Post, wakil pihak kerajaan, Shashi Dhar Ghimire berkata, bas tersebut membawa penumpang yang berkabung ketika membawa jenazah saudara mereka pulang ke kampung halaman.
Bas tersebut membawa seramai 35 penumpang ketika tergelincir di kawasan pergunungan berdekatan kampung Laguwa, 300 kilometer dari barat Kathmandu.
Pihak polis dan penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Punca kejadian belum diketahui, namun kebiasaannya jalan di kawasan pergunungan tersebut dilitupi dengan kabus tebal pada waktu pagi sehingga menyukarkan pemandangan.