Traktor pandu sendiri boleh dikawal guna telefon pintar - Utusan Malaysia

Traktor pandu sendiri boleh dikawal guna telefon pintar

TRAKTOR pandu sendiri pertama yang mampu dikawal dengan hanya menggunakan telefon pintar. - JOHN DEERE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Syarikat peralatan pertanian gergasi, John Deere memperkenalkan traktor pandu sendiri pertama yang mampu dikawal oleh golongan petani dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Lapor Daily Mail, traktor 8R itu juga mampu beroperasi selama 24 jam sehari.

Firma tersebut mendedahkan butiran mengenai traktor 8R yang diadaptasi itu, pada hari pertama di Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas.

Dilaporkan, beberapa petani di Amerika Syarikat (AS) sudah menguji traktor dibangunkan firma itu sejak 2019 yang mana dilihat sebagai satu daripada cara untuk menangani kekurangan kakitangan.

Traktor 8R itu dilengkapi dengan enam pasang kamera dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkannya menyemak kedudukan secara terperinci dan berhenti sekiranya mengesan haiwan atau objek di laluannya.

Menurut John Deere, kamera dan komputer untuk pembajakan secara automatik boleh dipasang pada traktor sedia ada itu hanya dalam masa sehari.

Jelas syarikat itu, pihaknya akan membekalkan sehingga 20 mesin pada tahun ini, dengan pelancaran dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Namun, firma itu masih belum memutuskan sama ada traktor tersebut akan dijual terus atau ditawarkan sebagai langganan.

Walaupun John Deere masih belum mengumumkan harga rasmi traktor itu, beberapa wakil firma berkenaan menjangkakan ia adalah kira-kira 10 peratus daripada kos peralatan atau hampir AS$50,000 (RM210,105) apabila dipasarkan.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Peladang United Kingdom (UK) menyambut baik perkembangan tersebut.

Naib Presidennya, Tom Bradshaw meramalkan suatu masa depan yang mana pengendali mampu mengawal kumpulan kenderaan robotik yang bekerja di palangan sebaik sahaja harga turun. – AGENSI        

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya