LONDON: Seorang pengguna aplikasi TikTok mendakwa Istana Kensington menggunakan `helah pembekuan kaca’ untuk mengelak pengunjung mengintai taman peribadi pasangan diraja, Putera William dan Kate Middleton semasa melakukan lawatan ke kediaman mereka.
Lapor Daily Mail, orang awam dibenarkan mengunjungi beberapa kawasan tertentu di istana tersebut yang mengandungi pejabat dan kediaman London Duke dan Duchess Cambridge serta anak-anak mereka, Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.
Bagaimanapun, beberapa tindakan diambil untuk memastikan privasi pasangan diraja itu dilindungi antaranya memasang tingkap kaca separa beku di sebuah bilik di tingkat atas bagi menghalang orang ramai mengintai taman peribadi mereka.
Seorang pengunjung, Laura-Ann Barr dari Ireland Utara menyedari helah tersebut semasa melakukan lawatan di kediaman pasangan diraja berkenaan.
Barr turut berkongsi sebuah rakaman video memaparkan penggunaan `tingkap rahsia’ tersebut dalam akaun TikTok miliknya.
Dalam video itu, Barr menunjukkan perbandingan antara bahagian asal dan kaca separuh beku yang digunakan di tingkap tersebut.
“Saya kini berada dalam lawatan Istana Kensington dan lihatlah sendiri `tingkap rahsia’ yang terdapat di sini.
“Ia dipasang untuk memastikan orang ramai tidak dapat melihat taman peribadi William dan Kate yang berada di sebelah kanan.
“Malah, mereka menggunakannya pada semua tingkap di dalam bilik ini,” katanya.
Pengarang buku diraja Britain, Christopher Warwick memaklumkan istana tersebut mempunyai kira-kira 20 bilik dari tingkat bawah tanah sehingga loteng.