BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) tidak akan mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) yang mengarahkan supaya semua petugas kedutaaan dan keluarga mereka di Ukraine meninggalkan segera negara itu susulan krisis dengan Rusia.
Pegawai tertinggi Eropah, Josep Borrell berkata, mereka tidak mempunyai sebab yang jelas untuk meninggalkan Ukraine dalam kadar segera.
“Kami tidak akan mengikut jejak langkah AS buat masa ini kerana kami tidak tahu sebab yang jelas.
“Saya rasa kita tidak perlu ‘terlalu berdrama’ mengenai isu ini kerana rundingan demi rundingan sedang berlangsung dan kita perlu tunggu keputusannya,” katanya.
Terdahulu, AS mengarahkan semua petugas kedutaan dan keluarga mereka supaya meninggalkan Ukraine kerana bimbang Rusia akan menyerang Ukraine pada bila-bila masa.
Selain itu, Britain turut mengikut jejak langkah AS apabila mengeluarkan arahan supaya petugas kedutaan perlu keluar segera dari Ukraine demi keselamatan.
Namun, Britain memaklumkan, kedutaan negara itu di Ukraine tetap beroperasi untuk urusan rasmi sahaja.
Beberapa negara Barat sebelum ini menuduh Moscow cuba menceroboh Ukraine dengan menempatkan lebih 100,000 anggota tenteranya di sempadan Ukraine. – AFP