Teleskop Webb tiba di destinasi yang berjarak 1.6 juta kilometer dari bumi - Utusan Malaysia

Teleskop Webb tiba di destinasi yang berjarak 1.6 juta kilometer dari bumi

TELESKOP Angkasa Lepas James Webb dinamakan sempena nama bekas pengarah NASA. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Teleskop Angkasa Lepas James Webb dilaporkan tiba di destinasinya yang terletak kira-kira 1.6 juta kilometer (km) dari bumi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dan kejayaan itu dilihat sebagai satu peristiwa penting dalam misinya untuk mengkaji sejarah kosmik.

Pada pukul 2 petang (Waktu Timur), teleskop itu melancarkan pendorongnya selama lima minit untuk sampai ke titik Lagrange L2, yang mana ia akan mempunyai akses kepada hampir separuh ruang udara pada bila-bila masa.

Pentadbir NASA, Bill Nelson menerusi satu kenyataan berbangga dengan pencapaian tersebut. 

“Kami kini selangkah lebih dekat untuk membongkar misteri alam semesta.

“Malah, saya juga tidak sabar untuk melihat pemandangan pertama Webb mengenai alam semesta pada musim panas ini,” katanya.

Di ruang angkasa tersebut, ia akan kekal sejajar dengan bumi ketika bergerak mengelilingi matahari.

Ini sekali gus membolehkan perisai Webb melindungi peralatan sensitifnya daripada sinaran cahaya dan haba.

Teleskop Webb dilancarkan ke angkasa lepas dengan menggunakan roket Ariane 5 dari Guiana Perancis pada 25 Disember tahun lalu. 

Teleskop yang dinamakan sempena nama bekas pengarah NASA dijangka menelan belanja hampir AS$10 bilion (RM56.43 bilion). – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya