SUMATERA UTARA: Polis menahan seorang tekong dan pemandu motosikal dalam operasi membanteras dadah yang diseludup dari Malaysia untuk dibawa masuk ke negara ini.
Lapor Kompas.com, kedua-dua suspek terlibat dalam penyeludupan 71 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dari Malaysia dan diberkas di Tanjung Balai, Sumatera Utara, 25 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sumut, Panca Putra Simanjuntak berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti lebih ramai individu yang terbabit dalam penyeludupan dadah itu.
“Dadah itu diketahui diambil dari Malaysia di atas kapal di tengah laut atas arahan seorang individu yang sedang dicari oleh pihak polis,” katanya.
Panca berkata, pada mulanya, salah seorang suspek yang ditangkap dihubungi oleh individu yang tidak dikenali dan mengaku mendapat nombor telefonnya dari warga Indonesia di Malaysia.’
Jelasnya, suspek ditawarkan ganjaran lumayan untuk mengambil bungkusan ‘ubat’ tersebut dan apabila sampai di tengah laut, suspek akan bertemu dengan bot nelayan yang dikawal oleh rakyat Malaysia.
Ketika itu, dia mengaku tidak banyak berbual dengan warga Malaysia yang membawa dadah jenis methamphetamine yang dibungkus dalam uncang teh Cina dan kemudian dimasukkan ke dalam dua guni putih.
Namun, aktiviti itu berjaya ditumpaskan sebelum bahan terlarang itu memasuki pasaran Indonesia.