Setiap tingkat ada mayat ditemukan - bomba New York - Utusan Malaysia

Setiap tingkat ada mayat ditemukan – bomba New York

PASUKAN bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran yang disifatkan terburuk dalam sejarah New York. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK CITY: Kebakaran besar yang melibatkan sebuah blok kediaman di bandar raya ini disifatkan antara paling buruk dalam sejarah New York.

Beberapa saksi menceritakan, banyak mangsa menjerit meminta tolong dari tingkap ketika kebakaran berlaku sehingga menyebabkan ‘ada mayat di setiap tingkat’.

Insiden itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh, termasuk sembilan kanak-kanak dengan 63 cedera dan ada di antara mereka dalam keadaan kritikal.

Seorang daripada mangsa, Dilenny Rodriguez yang berjaya menyelamatkan diri bersama anak-anaknya memberitahu, ramai kanak-kanak menjerit dan menangis meminta tolong ketika kebakaran berlaku.

“Saya tidak dapat lupakan suara mereka yang menjerit minta tolong. Hati saya sayu memikirkan nasib mereka,” katanya.

Datuk Bandar New York City, Eric Adams berkata, insiden itu merupakan antara paling buruk dalam sejarah bandar raya ini.

“Sertai saya untuk mendoakan kesejahteraan semua mangsa yang terkorban dalam kebakaran itu, terutamanya sembilan kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya dalam Twitter.

Sekurang-kurangnya 200 anggota bomba di kerah untuk memadam kebakaran yang berlaku pukul 11 pagi waktu tempatan.

Berdasarkan siasatan awal, kebakaran bermula di tingkat dua dan tiga bangunan setinggi 19 tingkat itu.

Sejumlah gambar dan video yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan api menjulang tinggi dengan kepulan asap tebal di tingkat tiga bangunan tersebut.

Seorang penduduk, George King memberitahu, penduduk di bangunan tersebut tidak berani untuk terjun, sebaliknya mereka duduk tepi tingkap dan menjerit meminta tolong.

“Sedih melihat mereka berusaha sebaik mungkin untuk terus hidup. Saya tidak dapat bayangkan apa yang mereka lalui,” ujarnya.

Kesemua mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital dengan kebanyakannya mengalami serangan jantung dan masalah pernafasan akibat terhidu asap tebal.

 

ALAT PEMANAS JADI PUNCA?

Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York, Daniel Nigro memaklumkan, berdasarkan bukti fizikal dan keterangan beberapa saksi serta penghuni terselamat, kebakaran itu mungkin berpunca daripada alat pemanas elektrik mudah alih yang diletakkan dalam sebuah bilik di satu daripada unit rumah.

Katanya, api marak terlalu cepat sehingga mencetuskan asap tebal, sekali gus menyukarkan penghuni untuk selamatkan diri dengan segera.

“Pasukan bomba menemukan mayat di setiap tingkat dan tangga.

“Kali terakhir kami berdepan dengan situasi seperti ini adalah pada 30 tahun lalu dan juga berlaku di Bronx,” katanya.

Pada 1990, satu kebakaran berlaku di sebuah kelab malam di Bronx yang mengorbankan 87 orang dan punca kebakaran adalah disebabkan oleh perbuatan khianat.

Pada Disember 2017, sekurang-kurangnya 13 orang maut apabila bangunan kediaman yang juga di Bronx terbakar dan kebakaran dilaporkan bermula apabila seorang kanak-kanak berusia tiga tahun bermain dapur gas.

Insiden di bangunan kediaman ini berlaku lima hari selepas satu lagi kebakaran berlaku di sebuah rumah tiga tingkat di Philadelphia yang mengorbankan 12 orang, termasuk lapan kanak-kanak.

 

AMAT MENAKUTKAN

Dalam pada itu, Nigro menjelaskan, pintu masuk ke bangunan itu dibiarkan terbuka, menyebabkan asap dan api mudah merebak ke semua tingkat.

“Sekiranya pintu ditutup, api dan asap dapat dikawal daripada merebak, selain bangunan seperti inni tidak mempunyai laluan kecemasan jika berlaku kebakaran” tegasnya.

Selain itu, penghuni yang terselamat memaklumkan asap terlalu tebal sehingga mereka tidak nampak laluan untuk keluar dari bangunan tersebut.

“Keadaan amat menakutkan. Ketika kami kelam kabut melarikan diri, kami ternampak beberapa mayat terbaring dan tiada apa yang kami mampu lakukan selain melarikan diri segera,” kata seorang penghuni yang tidak mahu mendedahkan identitinya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya