KABUL: Kumpulan Taliban mengarahkan pemilik kedai di wilayah barat Herat memenggal kepala patung hiasan yang dipamerkan di premis tersebut kerana dianggap sebagai ‘berhala’.
Keputusan itu dikeluarkan oleh Kementerian Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat di Herat yang bertanggungjawab mentadbir tafsiran ketat Taliban.
Pada awalnya, pihak kementerian mengarahkan pemilik premis perniagaan mengeluarkan patung-patung itu sepenuhnya.
Namun, pemilik kedai mengeluh tindakan itu akan menjejaskan perniagaan mereka.
Sejurus itu, Ketua Kementerian tersebut, Sheikh Aziz-u-Rahman mengarahkan kepala patung itu perlu dipotong.
Seorang pemilik kedai, Abdul Wadood Faiz Zada berkata, kepala patung itu sepatutnya ditutup dan bukannya dibuang.
Katanya, setiap patung itu bernilai antara AS$70 hingga AS$100 (RM291-RM416) dan arahan itu menyebabkan kerugian terhadap perniagaan yang dijalankan.