JAKARTA: Selat Sunda berpotensi dilanda gempa bumi megathrust yang boleh mencapai ukuran 8.7 skala Richter, susulan gempa bumi melanda Banten Jumaat lalu.
Lapor Kompas.com, gempa bumi pada pukul 4.05 petang, minggu lalu, merekodkan 6.6 skala Richter sekali gus menunjukkan Indonesia masih berada dalam kawasan rentan gempa bumi dan tsunami.
Gempa bumi tersebut bagaimanapun tidak menyebabkan tsunami.
Peringatan itu disampaikan oleh Jurutera Pusat Teknologi Insfrastruktur Pelabuhan dan Agensi Inovasi dan Kajian Nasional Dinamika Pantai (BRIN), Widjo Kongko.
“Gempa bumi yang berlaku di Banten adalah satu peringatan penting mengenai potensi ancaman megathrust di Selat Sunda, Selatan Jawa, Sumatera,” katanya.
Menurut Widjo, gempa bumi di Banten dilabel sebagai kawasan jurang seismik yang merupakan zon yang tidak pernah menunjukkan aktiviti seismik sebelum ini.
Jelasnya, potensi gempa bumi megathrust Selat Sunda boleh melepasi 8.7 skala Richter iaitu megathrust Enggani dan di sebelah timur iaitu megathrust Jawa Barat-Tengah.
“Gempa bumi tersebut boleh mencecah sembilan skala Richter atau lebih.
“Tenaga yang dihasilkan dari gempa bumi berpotensi itu mirip dengan gempa bumi dan tsunami Aceh 2004,” jelasnya.
Beliau malah menjelaskan berdasarkan kedalaman laut dan perhitungan model, secara saintifiknya tsunami yang mungkin berlaku boleh jadi lebih tinggi dari Aceh, 18 tahun lalu.
Bagaimanapun, Widjo mengingatkan orang ramai supaya tidak panik dan berharap pemerintah daerah serta Badan Pencegahan Bencana Daerah (BPBD) meningkatkan keupayaan mitigasi.
“Antaranya seperti memberikan pendidikan bencana kepada masyarakat, menyediakan tempat pemindahan serta melakukan simulasi menghadapi tsunami secara rutin,” katanya.