JAKARTA: Satu lagi varian baharu Covid-19 didakwa ditemukan di Surabaya, Jawa Timur.
Ketua Jabatan Kesihatan Jawa Timur, Erwin Astha Triyono berkata, terdapat satu kes melibatkan varian baharu itu yang disifatkan sebagai varian tempatan.
Media tempatan sebelum itu melaporkan, mutasi varian itu berbeza berbanding Omicron dan Delta atau dengan varian terdahulu.
Jelas Erwin, varian baharu itu dikesan menerusi pemeriksaan sampel genom yang dilakukan oleh Institut Penyakit Tropika (ITD) di Universiti Airlangga Surabaya.
“Terdapat 18 sampel yang dikesan ITD Unair dengan lapan daripadanya melibatkan varian Omicron, sembilan (Delta) dan satu lagi varian tempatan.
“Varian baharu itu berbeza berbanding Omicron dan Delta,” katanya seperti yang dilaporkan Tribunnews.
Sehubungan itu, pihak berkuasa kesihatan giat mengkaji penemuan varian baharu itu bagi mengenal pasti risiko jangkitan.
Erwin memberitahu, masih terlalu awal untuk menjelaskan ciri-ciri varian tersebut dan akan maklumkan segera kepada umum selepas kajian dilakukan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi memaklumkan, kementerian akan berkerjasama dengan jabatan kesihatan Jawa Timur berhubung penemuan varian tersebut.
“Sehingga kini, kami belum memperoleh maklumat lanjut mengenai varian tersebut,” ujarnya.
Selain itu, Siti Nadia memberitahu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bakal menentukan kategori varian yang dikesan.