NAIROBI: Penemuan manik tertua di dunia yang menjangkau beribu-ribu kilometer di seluruh Afrika berjaya membongkarkan kewujudan rangkaian sosial sejak 50,000 tahun lalu.
Lapor The Guardian, kajian mengenai lebih 1,500 manik yang digali di lebih 30 lokasi di seluruh bahagian selatan dan timur Afrika seperti di Kenya, Tanzania dan Botswana dilakukan oleh saintis dari Jerman.
Pakar mendapati individu yang menghasilkan manik itu yang masih dibuat dan dipakai di Afrika sehingga hari ini menukarnya dalam bentuk perdagangan jarak jauh, membantu untuk berkongsi mesej simbolik serta mengukuhkan pakatan.
Saintis turut mendapati antara manik yang dihasilkan menggunakan kulit telur burung unta yang merupakan antara bentuk perhiasan peribadi tertua bagi manusia.
Kajian yang diterbitkan dalam Nature ditulis oleh pengarang utamanya, Jennifer Miller dari Institut Max Planck bagi Sains Sejarah Manusia di bandar Jena.
Saintis menyimpulkan kira-kira 50,000 tahun lalu, penduduk di timur dan selatan Afrika mula membuat manik yang hampir sama daripada kulit telur burung unta dengan membandingkan diameter luar cengkerang, lubang di dalam dan ketebalan dinding kulit telur tersebut.
Saintis mempercayai golongan lelaki dan wanita mula memakai perhiasan manik sejak 75,000 tahun dahulu.
Bagaimanapun, industri perhiasan bermula 50,000 tahun lalu di Afrika dengan penghasilan manik kulit telur burung unta pertama menjadi bentuk perhiasan terawal yang ditemukan oleh ahli arkeologi.