NEW YORK: Ribuan penerbangan di Amerika Syarikat (AS) terpaksa dibatalkan ketika sebahagian daripada kawasan pantai timur negara ini dibadai ribut salji yang menyebabkan salji tebal dan angin kencang.
Beberapa kawasan termasuk New York dan Boston dijangka terkena tempias ribut salji itu yang turut diramal menjejaskan tempat di Mid-Atlantic.
Mesin membersihkan salji sudah ditempatkan di sekitar New York selepas Datuk Bandar, Eric Adams menjangkakan salji setebal 30 sentimeter akan memenuhi bandar raya ini.
Kira-kira 3,400 penerbangan sudah pun dibatalkan hari ini, manakala sebanyak 1,450 penerbangan dibatalkan semalam.
Gabenor New York dan New Jersey pula mengisytiharkan darurat, manakala Datuk Bandar Boston, Michelle Wu mengiystiharkan darurat salji di bandar itu.
Menuruty Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, ribut salji itu akan menyebabkan suhu sejuk melampau dan angin kencang, selain aktif dalam tempoh 24 jam akan datang. – AFP