SANA’A: Hampir 1,500 kanak-kanak yang direkrut oleh kumpulan pemberontak Houthi di Yaman dilaporkan maut dalam pertempuran pada 2020.
Lapor Al Jazeera, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan ratusan lagi kanak-kanak terkorban pada tahun berikutnya.
Dalam satu laporan kepada Majlis Keselamatan, pakar berkata, kumpulan pemberontak masih merekrut kanak-kanak.
Katanya, kumpulan itu menggunakan beberapa kem musim panas dianjurkan untuk kanak-kanak bagi menyebarkan ideologi mereka.
Menerusi laporan setebal 300 muka surat, panel itu memaklumkan pihaknya menerima senarai membabitkan 1,406 kanak-kanak direkrut oleh kumpulan Houthi yang maut di medan perang pada 2020.
Jelas panel itu, seramai 562 kanak-kanak meninggal dunia di medan perang antara Januari dan Mei pada 2021.
Justeru, panel tersebut menggesa semua pihak berhenti daripada menggunakan sekolah, kem musim panas untuk merekrut kanak-kanak.
Sementara itu, pakar berkata, serangan udara dilakukan tentera pimpinan Arab Saudi ke atas pemberontak masih menyebabkan ramai orang awam terkorban.
Dilaporkan, lebih 10,000 kanak-kanak maut dalam perang sejak 2015.
Puluhan ribu orang dewasa juga terkorban akibat pertempuran selain jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal. – AGENSI