SANTA FE: Seorang remaja berusia 18 tahun di New Mexico ditahan selepas didapati membuang bayi lelakinya yang baru dilahirkan ke dalam sebuah tong sampah.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan detik ngeri ibu muda itu mencampakkan bayinya yang dibungkus dalam beg sampah hitam, menjadi tular dalam media sosial.
Lapor Daily Mail, Alexis Avila mendakwa dia hanya mengetahui dirinya mengandung sehari sebelum melahirkan bayinya dalam tandas.
Avila didakwa atas cubaan membunuh dan penderaan kanak-kanak selepas bayi lelakinya ditemukan Jumaat lalu bertarung nyawa selama hampir enam jam dalam cuaca 30 darjah selepas dibuang ke dalam tong sampah.
Bagaimanapun, Avila dibebaskan dari penjara selepas diikat jamin sebanyak AS$10,000 (RM41,946) kurang dua jam selepas ditahan.
Dia akan dihadapkan semula ke Mahkamah Daerah Lea.
Rakaman video menunjukkan remaja itu tiba dengan kereta Volkswagen Jetta lalu membuka pintu belakang dan melemparkan sebuah beg sampah hitam ke dalam tong sampah di Hobbs, New Mexico kira-kira pukul 2 petang pada 7 Januari lalu.
Enam jam kemudian, tiga pejalan kaki menemukan bayi lelaki itu yang masih hidup dan bertali pusat di dalam tong sampah berkenaan.
Sementara itu, pemangku ketua jabatan polis Hobbs, August Fons berkata, beliau tidak pernah berdepan dengan kes seperti ini.
“Sekiranya anda mengalami kesukaran dengan bayi baru dilahirkan, respon terbaik adalah mencari seseorang yang boleh membantu anda. Hubungi kami dan biar kami membantu anda melalui situasi itu,” katanya.