ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memecat ketua jabatan perangkaan negara berikutan menyiarkan laporan data inflasi yang mencetuskan kemarahan kem pro-kerajaan dan pembangkang.
Pemecatan Sait Erdal Dincer berlaku selepas data dikeluarkan jabatan itu menunjukkan kadar inflasi Turki tahun lalu, mencecah sebanyak 36.1 peratus, paras tertinggi dalam tempoh 19 tahun.
Lapor Al Jazeera, penyingkiran bekas Pengerusi Institut Statistik Turki (TUIK) itu merupakan yang terbaharu dalam siri pemecatan ekonomi dilakukan oleh Recep Tayyip.
Sebelum ini, Recep Tayyip sudah memecat tiga gabenor bank pusat sejak Julai 2019.
Recep Tayyip mengecam kadar faedah yang tinggi kerana beliau percaya ia menyebabkan inflasi.
Data inflasi 2021 yang dikeluarkan oleh Sait Erdal mencetuskan kemarahan kem pro-kerajaan dan
pembangkang.
Dalam pada itu, pembangkang mendakwa data inflasi yang disiarkan jabatan perangkaan tersebut tidak melaporkan isu peningkatan kos sara hidup dengan menyeluruh.
“Peningkatan kos sara hidup sebenar adalah sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Recep Tayyip mengkritik jabatan perangkaan tersebut kerana menerbitkan data yang dianggap melebih-lebihkan skala kemelesetan ekonomi Turki. – AGENSI