GAZA: Ketika kes jangkitan Covid-19 melibatkan varian Omicron mula menurun di kebanyakan negara, situasi berbeza berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin apabila sistem kesihatan di negara ini hampir lumpuh akibat penularan virus itu.
Penasihat kepada Menteri Kesihatan Palestin, Fathi Abdu Warda berkata, keluk jangkitan menunjukkan peningkatan mendadak dan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, terdapat 95 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 63 daripadanya kritikal dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) mencecah lebih 50 peratus.
Sehubungan itu, Abdu Warda menasihatkan penduduk yang dijangkiti Covid-19 atau mempunyai gejala berkaitan untuk segera ke hospital bagi mengelak penularan semakin kritikal.
Beliau memberitahu, sebanyak 548 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital dijangkiti varian Omicron.
“Musim sejuk yang melanda wilayah Palestin ketika ini dan kekurangan bekalan elektrik di Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduk terpaksa bergelap selama 12 jam sehari.
“Situasi sukar ini secara tidak langsung menggalakkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya seperti yang dilaporkan agensi berita Xinhua.
Sehingga kini, hanya 30 peratus penduduk di Gaza sudah menerima vaksin Covid-19 dengan sebanyak lima kematian dan 5,380 kes baharu COVID-19 di Tebing Barat serta Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.