ASHGABAT: Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov membuat keputusan untuk menutup sebuah kawah berapi yang digelar sebagai ‘Mulut Neraka’.
Bagi tujuan tersebut, Berdimuhamedov mengarahkan barisan kepemimpinannya mencari mana-mana pakar di seluruh dunia yang boleh memadamkan api dalam kawah tersebut.
Mulut Neraka yang dipenuhi dengan gas metana itu sudah terbakar sejak saintis era Soviet menyalakan api di dalamnya pada 1971.
Api yang menyala dalam kawah seluas 70 meter itu boleh dilihat dari jarak jauh dan sering menjadi tumpuan orang ramai, termasuk pelancong dari seluruh dunia.
Kawah itu terletak di Gurun Karakum, kira-kira 257 kilometer ke utara Ashgabat.
Berdimuhamedov mengarahkan kawah berapi itu ditutup kerana mendakwanya merosakkan keadaan sekitar.
Selain itu, kesihatan para penduduk turut terjejas akibat asap yang dikeluarkan dari kawah tersebut.