STRASBOURG: Presiden Parlimen Eropah, David Sassoli dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Itali pada awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakapnya, Roberto Cuillo menerusi Twitter.
Memetik laporan BBC, bekas wartawan dan ahli politik berhaluan kiri itu dilaporkan sakit tenat selama lebih dua minggu lalu dan membatalkan semua program rasminya.
Sassoli dimasukkan ke hospital di Itali pada bulan lalu selepas mengalami komplikasi serius berkaitan sistem imun badannya.
Sassoli berusia 65 tahun itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.15 pagi (waktu tempatan) di Pusat Rujukan Onkologi (CRO) di Aviano, Itali.
Pada September lalu, Sassoli dimasukkan ke sebuah hospital di Strasbourg yang mana beliau dirawat untuk penyakit radang paru-paru yang teruk.
Beliau kemudian menyambung semula tugas politiknya pada November lalu.
Sebelum ini, Sassoli menyatakan beliau tidak akan bertanding semula bagi mempertahankan jawatannya.
Dilaporkan, pengundian bagi melantik pengganti Sassoli dijangka diadakan pada akhir bulan ini. – AGENSI/AFP