LAGOS: Pasukan keselamatan Nigeria berjaya menyelamatkan hampir 100 mangsa culik yang ditahan di beberapa tempat persembunyian di hutan di barat laut negara itu.
Menurut polis, kesemua mangsa itu diculik oleh beberapa kumpulan penjenayah kira-kira dua bulan lalu.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, polis dan tentera Nigeria giat memburu kumpulan bersenjata atau penyamun yang mensasarkan perkampungan di tengah dan barat wilayah untuk merompak atau penculikan besar-besaran bagi mendapatkan wang tebusan.
Dalam satu operasi dijalankan Isnin lalu, polis berjaya menyelamatkan 68 mangsa yang ditahan di beberapa kem di kawasan Shinkafi, wilayah Zamfara dengan bantuan daripada bekas penyamun yang menjadi pemberi maklumat.
Menurut polis Zamfara, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang telah ditahan selama lebih tiga bulan.
Dalam operasi berasingan, polis berjaya membebaskan 29 lagi mangsa culik dari kawasan hutan Kunchin Kalgo di kawasan Zamfara.
Jelas kenyataan itu, kesemua mangsa itu ditahan selama 60 hari.
“Semua mangsa yang diselamatkan kini sedang dirawat oleh pasukan perubatan kerjasama kerajaan negeri dan polis,” jelas kenyataan itu. – AFP