PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menyelar Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai ‘angkuh’ dan tidak sopan selepas menyuarakan kebimbangan mengenai pertemuan kontroversi beliau dengan Ketua Junta Myanmar.
Lapor Reuters, Hun Sen menjelaskan kunjungan beliau ke Myanmar ‘untuk menanam pokok dan bukan menebang pokok’ dan kenyataan Saifuddin ‘tidak betul dalam rangka kerja ASEAN’.
Minggu lalu, Saifuddin berkata, beberapa anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) meragui lawatan Hun Sen ke Myanmar, 7 Januari lalu, yang berisiko ditafsirkan sebagai pengiktirafan ASEAN terhadap Ketua Junta Myanmar.
Saifuddin berkata, Hun Sen sepatutnya mendapatkan input daripada rakan sejawatan ASEAN lain terlebih dahulu.
Hun Sen menerusi panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo mempertahankan kunjungannya ke Myanmar dan menegur tindakan Saifuddin.
“Menteri Luar Malaysia tidak boleh terlalu angkuh dengan kenyataan tidak wajar kepada pemimpin ASEAN terutama pengerusinya.
“Beliau langsung tidak mempunyai kesopanan,” kata Hun Sen seperti dipetik oleh media kerajaan TVK.
Semasa panggilan itu, Jokowi menggesa Hun Sen berpegang kepada konsensus ASEAN.
Semasa ASEAN dipengerusikan Brunei sebelum ini, kesatuan itu membuat langkah mengejut apabila menghalang junta daripada menyertai sebarang mesyuarat penting.
Langkah itu berhubung kegagalannya melaksanakan ‘konsensus’ ASEAN lima perkara yang dipersetujui untuk menamatkan konflik pasca rampasan kuasa di Myanmar.
Pengerusi baharu ASEAN dari Kemboja pula menyatakan mahu melibatkan diri dan tidak mengasingkan Ketua Junta Myanmar tersebut.