PARIS: Kumpulan peniaga akuarium di Perancis memutuskan untuk tidak lagi menjual mangkuk kaca yang kebiasaannya digunakan untuk meletakkan ikan emas.
Sebaliknya, para peniaga bersetuju untuk menjual bekas akuarium berbentuk lain selain bulat.
Keputusan itu dipersetujui selepas kumpulan peniaga mendakwa meletakkan ikan dalam bekas bulat yang kecil tanpa sistem oksigen yang lancar hanya menyeksa ikan.
“Membiarkan ikan berenang dalam ruang yang sempit seperti bekans berbentuk bulat boleh menyebabkan haiwan itu tertekan dan akhirnya mati.
“Ikan emas mampu hidup sehingga 30 tahun dan membesar sehingga 25 sentimeter dalam kolam atau akuarium yang besar, namun mudah mati dalam bekas bulat yang kecil,” kata Ketua Pengarah Eksekutif AgroBiothers, Mathhieu Lambeaux kepada Reuters.
Beliau juga menegaskan, ikan emas merupakan haiwan yang perlu ditemani ikan lain, memerlukan ruang yang luas dan air bersih.
Keputusan itu menyaksikan Perancis mengikut jejak langkah beberapa negara Eropah lain yang enggan menjual bekas akuarium berbentuk bulat.
AgriBiothers menyatakan mereka boleh menjual 50,000 akuarium berbentuk bulat setiap tahun sebelum ini.
Katanya, mereka akan cuba menasihati pengguna supaya tidak menggunakan mangkuk tersebut kerana ia hanya menyebabkan ikan peliharaan mereka mati secara perlahan-lahan.