SUMATERA UTARA: Penghuni jeriji besi di sebuah kawasan kediaman peribadi di Langkat dilaporkan sering menjadi mangsa keganasan.
Lapor CNN Indonesia, hasil penyiasatan oleh Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) mendapati kekerasan yang berlaku menyebabkan beberapa mangsa dalam penjara buatan sendiri itu meninggal dunia.
Pesuruhjaya Komnas HAM, M. CHoirul Anam berkata, pihaknya sudah meneliti dan mengesahkan maklumat yang diterima berkenaan kehilangan nyawa manusia di tempat tahanan itu.
Katanya, proses pemulihan mencatatkan beberapa kes kekerasan fizikal sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
“Semua orang yang dihantar ke sana memang niatnya adalah untuk pemulihan. Namun, tempat itu didapati tidak berlesen.
“Kita dapati infrastruktur yang terdapat di dalam pusat tahanan itu sememangnya bertujuan melaksanakan aktiviti keganasan,” katanya.
Menurut Choirul, bilangan kes kematian dipercayai melibatkan lebih seorang tahanan selepas pihaknya menemukan kubur di beberapa tempat.
Sementara itu, Ketua Polis Sumatera Utara, Inspektor Jeneral Panca Putra Simanjutak berkata, hasil penyiasatan awal mendapati mangsa yang maut akibatkan menerima layanan kejam dalam kurungan tersebut.