Pengasas Theranos bersalah tipu pelabur, berdepan hukuman penjara 20 tahun - Utusan Malaysia

Pengasas Theranos bersalah tipu pelabur, berdepan hukuman penjara 20 tahun

ELIZABETH HOLMES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Pengasas Theranos, Elizabeth Holmes didapati bersalah atas pertuduhan menipu pelabur berkaitan syarikat permulaan teknologi perubatannya.

Ia merupakan salah satu kes berprofil tinggi membabitkan penipuan terbesar di Silicon Valley.

Para juri mendapati Holmes, 37, bersalah atas empat pertuduhan menipu pelabur supaya melabur wang dalam teknologi yang didakwanya sebagai sistem ujian revolusioner.

Namun, barisan juri itu turut membebaskan Holmes daripada empat pertuduhan, malah tidak dapat mencapai keputusan atas tiga pertuduhan lain.       

“Keputusan kes ini menunjukkan Holmes bersalah dalam penipuan pelabur berskala besar.

“Beliau kini harus menghadapi hukuman atas jenayah dilakukannya,” kata Peguam Amerika Syarikat (AS), Stephanie Hinds dalam satu kenyataan dibacakan oleh wakilnya di luar mahkamah.

Holmes tidak memberi sebarang komen ketika ditanya sama ada akan memfailkan rayuan. 

Usahawan yang pernah digelar hartawan termuda di dunia kini boleh dihukum penjara selama 20 tahun bagi setiap pertuduhan.

Ketika ini, Holmes masih dibebaskan menjelang perbicaraan berhubung syarat jaminannya yang akan diadakan minggu depan.   

Setakat ini, tiada tarikh ditetapkan bagi hukuman berkenaan. 

Sebelum ini, Holmes menguar-uarkan teknologi dimiliki syarikatnya yang hanya menggunakan beberapa titis darah untuk melakukan diagnosis masalah kesihatan pesakit.

Namun sebenarnya, teknologi itu gagal berbuat demikian.    

Holmes mengilhamkan orang ramai mengenai revolusi masa depan dalam bidang perubatan sehingga membuatkan ramai melabur dalam syarikat Theranos.

Holmes pernah menjadi penghias muka depan pelbagai majalah terkemuka dan menerima jumlah besar wang pelabur yang disumbangkan dalam projek tersebut. 

Namun, segalanya musnah apabila laporan Wall Street Journal mendedahkan teknologi luar biasa dihasilkan Theranos adalah palsu semata-mata.

Laporan itu menjelaskan mesin ujian darah syarikat itu tidak berfungsi seperti yang dijanjikan oleh Holmes.

Pendakwa raya menghabiskan masa hampir 11 minggu untuk menampilkan puluhan saksi dalam kes tersebut.

Malah, mereka juga berusahah mengemukakan hujah bahawa Holmes sedar mengenai kegagalan teknologinya dan secara sengaja mengelirukan pelabur dan pesakit.

Holmes secara sendiri meletakkan logo syarikat farmaseutikal gergasi, Pfizer dan Schering-Plough pada laporan Theranos kononnya sebagai memuji teknologi ujian darah syarikatnya, yang kemudian laporan itu turut dikongsikan dengan para pelabur.

Tindakan Holmes itu dilakukan tanpa kebenaran firma berkenaan.

Ia merupakan bahagian penting hujah pihak pendakwaan bahawa Holmes secara sengaja cuba meningkatkan kredibiliti Theranos dalam usaha meraih lebih banyak sokongan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya