SINGAPURA: Sepanjang tempoh lebih dua tahun, seorang pembantu doktor gigi didakwa menggelapkan duit berjumlah S$158,400 (RM489,303) daripada pesakit dan menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli hartanah di Malaysia.
Pembantuk doktor yang merupakan rakyat Malaysia itu, Charlene Ashby Clay, 24 tahun, dihukum penjara selama 16 bulan hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan pecah amanah dan satu lagi tuduhan memindahkan faedah daripada perbuatan jenayah.
Empat lagui pertuduhan turut diambil kira semasa hukuman dikenakan terhadapnya.
Mahkamah dimaklumkan, Charlene bekerja sebagai pembantu doktor gigi di Klinik Dr Smile di Blok 443, Clementi Avenue 3.
Tertuduh mula menggelapkan duit dari klinik tersebut sejak Oktober 2018 dengan mengambil wang tunai daripafa pesakit.
Dia kemudiannya memasukkan data ke dalam sistem urus niaga klinik untuk menjadikannya seolah-olah pesakit membuat bayaran melalui kaedah yang tidak dapat disahkan segera seperti kad kredit.
Antara Oktober 2018 hingga Mac 2019, Charlene menggelapkan S$44,861 (RM138,553) menerusi kaedah tersebut dan memindahkan duit ke dalam akaunnya sendiri.
Perbuatannya mula dihidu pada Mac 2019 apabila akauntan klinik berkenaan memberitahu doktor gigi tersebut bahawa terdapat percanggahan antara jumlah wang diterima dengan data sistem urus niaga klinik.
Charlene mengaku bersalah atas kesalahannya dan merayu kepada doktor gigi tersebut supaya tidak membatalkann permit kerjanya dan meminta diberi satu lagi peluang.
Gajinya dipotong antara S$650 (RM2007) hingga S$1,050 (RM3,242) setiap bulan bagi melunaskan semua duit yang diambilnya.
Tidak lama kemudian, pembantu doktor gigi tersebut menggunakan kaedah lain untuk melakukan kesalahan yang sama dan sekali lagi terbongkar pada 30 Mac 2020.
Wanita itu juga didakwa memindahkan sebahagian duit yang dicuri ke dalam akaun bank di Malaysia untuk membeli hartanah.