ROM: Gambar pemandangan udara sebuah pekan purba di Itali dilaporkan kelihatan seperti struktur bentuk badan manusia.
Lapor Daily Mail, gambar yang dirakam menggunakan dron itu memaparkan rupa bentuk Centuripe yang berbucu lima.
Beberapa imej digabungkan oleh jurugambar menunjukkan rupa bentuk penuh pekan di pulau Sicily itu yang menyerupai struktur badan manusia dengan ‘kedua-dua belah tangan didepakan’.
Gambar pemandangan udara itu mendedahkan empat bahagian menyerupai anggota badan yang menuju arah berbeza dan satu lagi bahagian berbentuk seperti ‘kepala’.
Menurut jurugambar tempatan, Pio Andrea Peri, 32, dia menemukan rupa bentuk unik Centuripe apabila melihat pekan itu menerusi Google Earth.
Dia kemudian menerbangkan dron miliknya setinggi mungkin di atas Centuripe bagi mengambil beberapa gambar keunikan pekan tersebut.
“Agak sukar untuk merakam keseluruhan gambar pekan itu. Saya terpaksa menangkap gambar di beberapa bahagian disebabkan had ketinggian dron tersebut,” katanya.
Rupa bentuk pekan itu boleh disamakan dengan pelbagai objek termasuk bintang berbucu lima, burung layang-layang dengan sayap terbentang dan karya Vitruvian Man yang dihasilkan oleh Leonardo da Vinci.
Gambar pemandangan pekan itu yang dimuat naik oleh Peri di akaun Instagramnya mendapat pelbagai reaksi warganet termasuk ada yang mendakwa jurugambar memanipulasi imej berkenaan. – AGENSI