Parol pembunuh Robert F Kennedy ditolak buat kali ke-16 - Utusan Malaysia

Parol pembunuh Robert F Kennedy ditolak buat kali ke-16

SIRHAN SIRHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Gabenor California, Gavin Newsom menolak memberikan parol kepada Sirhan Sirhan, iaitu pelarian Palestin yang menjalani penjara seumur hidup kerana membunuh calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Robert F Kennedy pada 1968.

Newsom membuat pengumuman itu semalam selepas lembaga peneliti California pada Ogos lalu mencadangkan supaya Sirhan dibebaskan dari penjara.

Sirhan sebelum ini berdepan dengan penolakan parol sebanyak 15 kali.

Newsom menjelaskan, beliau tidak bersetuju dengan cadangan lembaga peneliti tersebut yang berpendapat Sirhan, 77, layak diberikan parol.

“Selepas meneliti kes tersebut secara menyeluruh, saya menetapkan Sirhan tidak mempunyai kelayakan untuk dibebaskan semula dalam komuniti,” katanya.

Peguam Sirhan, Angela Berry tidak memberi maklum balas mengenai keputusan tersebut.

Sirhan didakwa menembak mati Kennedy, 42, di pantri Hotel Ambassador di Los Angeles pada 5 Jun 1968.

Insiden itu berlaku beberapa minit selepas Kennedy berucap susulan kemenangannya dalam pilihan raya California dan beliau meninggal dunia keesokan harinya.

Abangnya, Presiden John F Kennedy turut menjadi mangsa bunuh apabila ditembak di Dallas pada 1963. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya