JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan Timur.
Kelulusan itu secara tidak langsung membolehkan proses pembangunan dimulakan, seiring dengan rancangan pihak berkuasa untuk memulakan pemindahan bermula 2024.
Speaker Dewan Rakyat, Puan Maharani bertanya kepada ahli patrlimen sekiranya rang undang-undang itu boleh diluluskan dan kebanyakannya bersetuju untuk meluluskannya.
Semalam, Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa memaklumkan, ibu negara baharu Indonesia akan dinamakan Nusantara dan nama itu dipilih sendiri oleh Presiden Joko Widodo atau Jokowi.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Sri Mulyani memberitahu, terdapat lima tahap untuk membangunkan Nusantara.
Tahap pertama bermula dari 2022 hingga 2024 yang merupakan fasa paling kritikal dan fasa terakhir dijangka siap sepenuhnya pada 2045.
Pembangunan ibu negara baharu itu melibatkan kos sebanyak AS$32 bilion (RM134 bilion). – AGENSI