NEW YORK: Sebuah unit pangsapuri di New York menjadi antara kediaman paling mahal yang pernah dijual di bandar raya ini apabila dibeli pada harga AS$190 juta (RM794 juta).
Pangsapuri berkeluasan 900 meter persegi itu dijual oleh pemiliknya yang merupakan hartawan Daniel Och.
Och membeli pangsapuri tersebut dua tahun lalu dengan harga AS$93 juta (RM389 juta).
Menurut Forbes, hartawan berusia 61 tahun itu mempunyai nilai kekayaan dianggarkan sebanyak AS$4.1 bilion (RM17 bilion).
Pangsapuri itu terletak di 220 Central Park South di tengah Manhattan.
Pada 2019, satu lagi unit di bangunan kediaman sama dibeli oleh pengurus dana, Ken Griffin pada harga AS$238 juta (RM995 juta), sekali gus menjadi bayaran paling mahal dibuat untuk pembelian rumah persendirian di Amerika Syarikat. – AFP