LONDON: Hampir dua juta individu di United Kingdom (UK) yang mempunyai masalah penglihatan menghadapi kesukaran untuk melakukan ujian Covid-19 sendiri.
Lapor Metro, masalah sama turut dihadapi oleh 360,000 individu yang disahkan buta atau mempunyai penglihatan separa yang perlu melakukan ujian tersebut sendiri tanpa merisikokan orang lain.
Seorang Youtuber dan bintang Tik Tok, Lucy Edwards, 26, memberitahu mengenai kesukaran yang dihadapinya ketika membuat ujian Covid-19.
Katanya, ujian itu tidak dapat diakses secara keseluruhannya disebabkan masalah yang dihadapi mereka.
Disebabkan itu, dia terpaksa merekodkan video melalui telefon pintar bagi menunjukkan proses ketika melakukan ujian.
“Hanya satu cara saya dapat gunakan sendiri iaitu melalui aplikasi Be My Eyes yang dapat menghubungkan saya dengan pegawai Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dengan bantuan khas mereka.
“Kamera iPhone saya boleh merakam apa yang saya lakukan, walaupun sukar untuk menghalakan kamera apabila anda tidak dapat melihat perkara yang anda perlu tunjuk.
“Saya perlu bergantung kepada tunang saya kerana ia bukan proses yang boleh diakses sendiri,” katanya.
Wanita itu berkata, ciri-ciri ujian Covid-19 dalam aplikasi itu perlu ditingkatkan termasuk memasukkan arahan audio secara dalam talian dan arahan braille bagi menentukan sama ada individu itu positif atau negatif.
Sementara itu, pegawai kempen di Institut Kebangsaan Diraja bagi Orang Buta (RNIB), Mike Wordingham berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pihak kerajaan mengenai ujian reaksi berantai polimerase (PCR) sejak Mei, tahun lalu.
Katanya, pihaknya sudah melakukan pemerhatian terhadap golongan buta dan separa penglihatan yang melakukan ujian sendiri di rumah.