RIYADH: Kementerian Kesihatan Arab Saudi berjanji tidak akan melaksakan sekatan pergerakan biarpun penularan varian Omicron di negara ini semakin meningkat.
Lapor Saudi Gazette, jurucakap kementerian tersebut, Dr. Muhammad al-Abdel Ali berkata, negara ini sudah merekodkan ‘kemajuan tinggi’ dalam menangani pandemik Covid-19, terutamanya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan vaksin.
Sehubungan itu katanya, sekatan pergerakan bukan lagi pilihan utama untuk mengawal penularan jangkitan ketika ini.
Dalam pada itu, kementerian tersebut mengakui varian Omicron melonjakkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini, namun kebanyakannya melibatkan golongan yang belum divaksin atau vaksinasinya belum lengkap.
Sementara itu, Muhammad menegaskan perkara yang menjadi kebimbangan Arab Saudi ketika ini ada kes jangkitan yang memerlukan rawatan intensif di hospital.
Katanya, kes jangkitan yang serius memerlukan rawatan segera dan menyeluruh dan sekiranya trend itu terus merekodkan peningkatan, sistem kesihatan negara ini berisiko lumpuh.