WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mencalonkan wanita Islam-Amerika yang pertama untuk menyandang jawatan hakim di mahkamah Persekutuan di negara itu.
Lapor Al Jazeera, perkara itu dimaklumkan oleh White House ketika mengumumkan senarai calon kehakiman yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Sekiranya mendapat pengesahan dari Senat AS, maka Nusrat Jahan Choudhury yang juga merupakan peguam hak sivil berketurunan Bangladesh akan berkhidmat di mahkamah daerah Persekutuan di New York.
“Seorang calon akan menjadi rakyat berketurunan Amerika-Bangladesh pertama, wanita Islam-Amerika pertama dan warga Islam-Amerika kedua berkhidmat sebagai hakim mahkamah Persekutuan,” jelas White House dengan merujuk kepada Nusrat.
Nusrat ketika ini berkhidmat sebagai pengarah undang-undang bahagian Illinois bagi Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU).
Beliau sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan di organisasi itu termasuk sebagai timbalan pengarah program keadilan kaum ACLU di New York.
Nusrat juga terlibat dalam banyak kes hak sivil termasuk tuntutan mahkamah yang mencabar kerajaan Persekutuan dan pengawasan Jabatan Polis New York terhadap komuniti Islam di bandar itu.
Pada September tahun lalu, pemimpin majoriti Senat Demokrat, Chuck Schumer secara rasmi mengesyorkan Nusrat untuk berkhidmat di mahkamah Persekutuan di New York.
Beliau juga menggelar Nusrat sebagai ‘pakar dalam hak dan kebebasan sivil’.