SINGAPURA: Agensi Jenayah Kebangsaan United Kingdom (NCA) meluluskan rampasan 15 jongkong emas bernilai 650,000 pound (RM3.7 juta) yang dikaitkan dengan rangkaian pengubahan wang haram antarabangsa.
Siasatan bermula apabila seorang wanita warga Singapura ditahan di Lapangan Terbang Heathrow pada 2020 sambil membawa sejumlah jongkong emas dalam begnya.
Menurut NCA, wanita itu tiba ke London dari Singapura ketika transit untuk menaiki penerbangan ke Chennai, India.
“Dia memaklumkan kepada penyiasat NCA bahawa dia membawa jongkong emas itu dari tukang emas di Singapura untuk diserahkan kepada tukang emas di India tanpa menjelaskan jadual penerbangannya yang disifatkan ‘pelik’.
“Siasatan seterusnya mendapati invois jongkong emas yang dibawa wanita itu adalah palsu dan tukang emas di India tidak wujud sebelum kesemua emas itu dirampas dan wanita tersebut dibenarkan meneruskan perjalanannya,” jelas NCA.
Selain itu, NCA menjelaskan, jongkong emas itu adalah milik rangkaian pengubahan wang haram yang bergiat aktif di Eropah dan Asia. – AGENSI