FLORIDA: Kapal pengawal pantai Amerika Syarikat (AS) berusaha mengesan 38 penumpang yang dilaporkan hilang selepas sebuah bot terbalik di pantai Florida.
Bot itu membawa 40 penumpang yang tidak memakai jaket keselamatan dengan seorang ditemukan mati, manakala, seorang lagi hidup.
Kapten Pengawal Pantai, Jo-Ann Burdian berkata, kapal tersebut berlepas dari Bimini dan menuju ke Bahamas, Sabtu lalu.
“Kapal itu terbalik selepas dihempas ombak bergelora di 65 kilometer timur bandar Fort Pierce,” katanya.
Menurut Burdian, kapal itu disyaki melakukan pemerdagangan manusia kerana laluan tersebut biasa digunakan untuk tujuan tersebut dari Bahamas ke AS.
Katanya, masa adalah penting dalam usaha pencarian ini kerana mereka yang hilang akan cuba bertahan dalam air sejuk tanpa bekalan dan terdedah kepada matahari serta gelora laut.
Beliau memaklumkan berjaya menemukan seorang mangsa yang terselamat dan kini berada di darat dalam keadaan stabil.
“Misi pencarian sejak kelmarin adalah baik dan sebuah pesawat yang terlibat dalam operasi pencarian terjumpa serpihan bot.
“Kita berharap lebih banyak mayat atau mangsa yang terselamat ditemukan. Pencarian akan diteruskan sepanjang malam,” katanya.
Sindiket penyeludupan manusia difahamkan menggunakan Bahamas berhampiran pantai Florida sebagai titik permulaan membawa orang ramai dari negara Caribbean seperti Haiti ke AS. – AFP