'Mereka takkan pulang, semuanya sudah mati' - Utusan Malaysia

‘Mereka takkan pulang, semuanya sudah mati’

AHLI keluarga mangsa berada di lokasi kejadian yang berlaku 5 Januari lalu, di Philadelphia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHILADELPHIA: Jambangan bunga ros putih diletakkan berdekatan kawasan bangunan terbakar sebagai tanda mengingati mangsa yang terbunuh.

Penduduk kejiranan Fairmount terkejut dan tidak dapat menahan sebak. Hati mereka hancur berkecai bagai kaca terhempas ke batu.

Hati ibu mana tidak luluh apabila kehilangan 10 ahli keluarga serentak dalam kebakaran paling teruk melanda sebuah bangunan pangsapuri perumahan awam di kejiranan Fairmount.

Jacuita Purifoy, 37, memberitahu, dia kehilangan adik perempuan, sepupu lelaki dan perempuan dalam insiden kebakaran selepas pengesan asap gagal berfungsi di sebuah bangunan tersebut.

Katanya, dia tidak dapat menahan sebak apabila anak saudara lelakinya paling muda berusia setahun juga maut dalam insiden tragis itu.

“Saya terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya hilang kata-kata.

“Mereka sepatutnya meneruskan kehidupan dan mati kerana usia tua, bukan daripada perkara yang boleh dielakkan. “Dia tidak tahu apa yang berlaku kerana dia masih kecil. Dia hanya mahukan ibunya, ayahnya, kakaknya, sepupunya. Dia mahu setiap individu yang pernah tinggal bersamanya sejak lima tahun lalu,” katanya.

KEBAKARAN TERUK

Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran paling teruk tahun ini.

Jabatan Bomba Philadelphia berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal kebakaran di tingkat dua rumah tiga tingkat di kejiranan tersebut.

Bangunan itu dimiliki oleh Pihak Berkuasa Perumahan Philadelphia yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan.

Timbalan Pertama Pesuruhjaya Bomba, Craig Murphy berkata, lapan orang berjaya menyelamatkan diri daripada bangunan itu melalui satu pintu keluar, sementara, dua lagi dimasukkan ke hospital.

Beliau malah memberitahu, insiden kebakaran itu adalah paling teruk yang pernah disaksikan sejak 35 tahun bertugas sebagai bomba.

Jelasnya, masih terlalu awal untuk menentukan punca kebakaran dan jabatan bomba masih menjalankan siasatan.

“Tidak semesitnya ini adalah kejadian yang mencurigakan.

“Kami sedang menyiasat perkara ini ke tahap tertinggi dan berusaha mengumpulkan semua maklumat dan sumber kami,” katanya.

Datuk Bandar, Jim Kenney memberitahu insiden tersebut merupakan hari paling tragis dalam sejarah bandar itu.

Beliau memaklumkan tidak dapat memastikan jumlah sebenar individu yang berada di dalam bangunan itu.

“Tragedi sudah berlaku dan kita semua berduka cita terhadapnya. Kita tidak boleh membuat penilaian terhadap bilangan orang di dalam rumah tersebut,” katanya.

Bilangan kematian tersebut adalah dua kali ganda dari kejadian kebakaran yang pernah melanda Philadelphia pada 2008, apabila seramai tujuh imigran maut selepas pemanas minyak tanah meletup di bangunan tiga tingkat.

Pada Disember 2017, seramai 13 mangsa terbunuh dalam kebakaran di sebuah bangunan apartmen di Bronx, New York, yang merekodkan sebagai insiden kebakaran paling dahsyat dalam tempoh 25 tahun.-AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya