Menara Milenium di San Francisco semakin condong - Utusan Malaysia

Menara Milenium di San Francisco semakin condong

PEMANDANGAN Menara Milenium di San Francisco, California. –AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Sebuah bangunan pencakar langit terkenal di San Francisco, Menara Milenium dilaporkan semakin mendap dan condong ke tepi kira-kira 7.5 sentimeter (cm) setiap tahun.

Perkara itu disahkan oleh jurutera bertanggungjawab membaiki bangunan yang bermasalah tersebut.

Memetik laporan The Guardian, Ron Hamburger menegaskan sekiranya masalah kecondongan masih berterusan pada kadar semasa, maka lif dan paip di bangunan 58 tingkat itu tidak mungkin berfungsi lagi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menara Milenium merupakan sebuah kondominium mewah bernilai jutaan dolar yang dibeli oleh atlet dan kakitangan Google yang sudah bersara sebelum menyedari bangunan itu semakin mendap.

Sejak 2016, berlaku mendapan tanah sebanyak 40 cm di bangunan itu dan tapak pelupusan di San Francisco.

Bangunan kondominium mewah itu terus mendap walaupun pelan pembaikan bernilai AS$100 juta (RM418 juta) dilaksanakan untuk mengelakkan masalah kecondongan berlaku lagi.

Kecondongan berterusan di bangunan itu mencetuskan kebimbangan orang ramai yang rata-ratanya membuat perbandingan dengan Menara Condong Pisa di Itali.

Situasi itu turut mendorong penduduk kondominium mewah tersebut memfailkan saman terhadap pihak pemaju dan pereka bangunan, selain tuduhan dilemparkan sesama pemaju dan pegawai bandar yang bertanggungjawab dalam isu ini.

Sementara itu, NBC Bay Area melaporkan kerja membaik pulih bangunan itu terpaksa dihentikan pada musim panas lalu, selepas jurutera mendapati menara berkenaan tenggelam 2.5 cm dalam tempoh beberapa bulan sejak proses itu bermula.

“Kini, jumlah kecondongan bangunan di bahagian atas adalah sebanyak 66 cm iaitu penambahan 25.4 cm sejak kerja baik pulih bangunan itu bermula tahun lalu,” jelas laporan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya