BAMAKO: Kerajaan Mali mendesak Denmark segera membawa pulang pasukan tenteranya yang dikerahkan ke negara Afrika Barat itu.
Lapor BBC, kontinjen tentera itu dikerahkan sebagai sebahagian pasukan anti-keganasan antarabangsa.
Menurut kerajaan Mali, penempatan kira-kira 90 anggota tentera itu dilakukan tanpa kebenaran mereka.
Sementara itu, Denmark memaklumkan pihaknya sedang berurusan dengan kerajaan di Bamako dan berusaha untuk menjelaskan keadaannya.
Terdapat kebimbangan antarabangsa meluas mengenai penempatan tentera upahan dari kumpulan Wagner Rusia di Mali.
Kerajaan menafikan kehadiran kumpulan tersebut dengan menyatakan jurulatih Rusia berada di negara itu untuk menyokong tentera negara. – AGENSI